Renungan bulan Ramadhan : )
ARKIB : 14/02/2005
Ibu pelik 4 anak berbaju merah pada hari nahas
IPOH 13 Feb. - Ibu kepada empat mangsa yang terbunuh dalam kemalangan
jalan raya dekat Gerik Jumaat lepas terkejut apabila keempat-empat
anaknya memakai baju berwarna merah sebelum memulakan perjalanan mereka
pada hari kejadian itu.
Che Saleha Che Abdul Rahman, 50, berkata, beliau tidak tahu kenapa
keempat-empat anaknya yang terbunuh itu memakai baju merah pada pagi
kejadian untuk balik ke rumahnya di Sitiawan dari Kota Bharu.
``Dua lagi anak saya tidak pula memakai baju merah. Saya merasa
pelik, tetapi saya tidak bertanya kenapa mereka berempat pakai baju
merah kerana ia mungkin kebetulan,'' katanya kepada Bernama hari ini.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 1 petang itu di Kilometer 9.1
Lebuh Raya Timur-Barat, kereta Mercedes Benz E220 yang dinaiki empat
beradik itu terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar sebatang pokok di
tepi jalan tersebut menyebabkan kereta berkenaan remuk.
Mereka yang terbunuh adalah pemandu kereta Intan Mazwin Mohamad
Imran, 26, pegawai eksekutif di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur;
Intan Maszmin, 25, pegawai di Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Putrajaya;
dan Intan Syafarin Hanni, 23, penuntut tahun tiga Universiti Teknologi
Mara (UiTM) Shah Alam yang mati di tempat kejadian manakala seorang lagi
anaknya, Intan Syafinasz, 20, pelajar tahun satu Universiti Malaya (UM)
meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Gerik.
Pada waktu kejadian, kereta tersebut mengekori kereta yang dipandu
suaminya, Pegawai Memerintah KD Pelanduk di Pangkalan Tentera Laut
Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Kapten Mohamad Imran Abdul Hamid, 50, yang
dinaiki bersama Che Saleha serta dua lagi anaknya Intan Maszlin, 24,
dan Muhd Syaiful Amri, 13, yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke
rumah mereka di Sitiawan.
Che Saleha berkata, pada malam sebelum kejadian ketika mereka di
Lundang, Kota Bharu, Intan Syafinasz yang memakai baju putih ada
memberitahu seorang sepupunya beliau merasakan seperti memakai kain
kapan.
``Anak kedua saya (Intan Maszmin) dulu pernah berseloroh... kalau
kita ni terlalu baik, kita akan pergi awal. Waktu itu kami sekeluarga
tidak terfikir apa-apa dan kami tergelak,'' katanya.
Che Saleha yang merupakan pengetua Sekolah Menengah Batu 10, Lekir
dekat Sitiawan berkata, Intan Maszmin sepatutnya bertunang pada Jun ini
dan bakal tunangnya turut hadir pada majlis pengebumian semalam.
``Mungkin dengan pemergian mereka, iman saya lebih kuat dan menjadi lebih sabar,'' katanya.
``Bagaimanapun, saya pasrah dengan ujian tuhan ini. Saya bersyukur
kerana dikurniakan anak-anak yang taat kepada ibu bapa. Memang anak-anak
saya sejak kecil dididik dengan pendidikan agama dan diberikan
penekanan oleh suami saya.
``Mereka cemerlang dalam akademik dan sangat rajin sewaktu di rumah.
Kini mereka sudah tiada dan hanya tinggal dua orang anak saya sebagai
pengubat hati,'' katanya.
Katanya, beliau akan tetap tinggal di rumahnya di Lot Pegawai
Kerajaan, Jalan Tazali, Sitiawan bersama kenangan anak-anaknya di rumah
itu.
Mengulas mengenai kejadian hari itu, Che Saleha berkata, selepas
beliau meninggalkan suaminya yang mahu bersolat Jumaat di sebuah masjid
di Gerik, beliau dan Intan Maszlin telah pergi ke sebuah gerai
buah-buahan kira-kira 100 meter dari masjid berkenaan.
``Saya tunggu anak saya tak sampai. Tiba-tiba ada seorang lelaki Cina
berhenti dan bertanya kepada orang di gerai itu, balai polis paling
dekat. Dia kata ada kemalangan dua kilometer dari gerai tu.
``Saya dengar dan saya tanya kereta apa. Dia kata kereta hitam dan
nampak perempuan Melayu pakai tudung... saya syak anak-anak saya. Saya
minta orang Cina itu tolong bawa saya ke tempat itu.Bila sampai, saya tengok memang anak-anak saya. Waktu itu ramai
orang di situ. Saya cuba pergi kepada anak saya, tetapi orang ramai
halang saya dan tenangkan saya. Saya nampak Intan Syafinasz di sebelah
pemandu masih hidup, nyawa-nyawa ikan,'' katanya. - Bernama
Pn.Hajah Che Saliha ni sebenarnya bekas pengetua sy masa sekolah menengah dulu.Teringat masa tragedi ni berlaku, warden asrama siap bagi pengumuman melalui sistem P.A....Kesian sangat dkt pn.pengetua yg kami panggil sebagai bonda ni. Daripada 6 org anak, tinggal 2 org je..seorang lelaki, seorang perempuan.
Bayangkan sedihnya kehilangan anak bukan setakat seorang dua tapi 4 orang serentak meninggal dunia. Tak dapat sy bayangkan macam mana luluh nya hati bonda pengetua masa tu. Tapi, tidak akan pernah Allah turunkan dugaan yg tak mampu kita tempuhi, betul tak. Jadi, bonda pengetua ni dah tentu tersangat kuat dan cekal orangnya.
Tragedi tu berlaku sekitar tahun 2005.Time ni sy baru form 3..So dah 7 tahun berlalu rupanya..Bonda pengetua pon sekarang dah lama bersara..Anak perempuannya pon dengar khabar dah kahwin, dah dpt anak pon..So bolehlah serba sedikit menjadi pengubat luka di hati bonda :)...
Harapan sy agar bonda kekal tabah dan bahagia setiap hari dlm hidup beliau bersama keluarga tercinta. InsyaAllah, suatu masa di syurga kelak bonda akan disatukan kembali dengan anak-anak kesayangan bonda yg telah pergi terlebih dahulu.Amin.
p/s: teringat time skolah dulu, kalau hantar kad raya dkt bonda, mesti dpt duit raya rm10..kdg2 siap reply balik kad raya..:)