Wednesday, July 25, 2012

Patah tumbuh, Hilang berganti

Renungan bulan Ramadhan : )


ARKIB : 14/02/2005

Ibu pelik 4 anak berbaju merah pada hari nahas

IPOH 13 Feb. - Ibu kepada empat mangsa yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya dekat Gerik Jumaat lepas terkejut apabila keempat-empat anaknya memakai baju berwarna merah sebelum memulakan perjalanan mereka pada hari kejadian itu.

Che Saleha Che Abdul Rahman, 50, berkata, beliau tidak tahu kenapa keempat-empat anaknya yang terbunuh itu memakai baju merah pada pagi kejadian untuk balik ke rumahnya di Sitiawan dari Kota Bharu.
``Dua lagi anak saya tidak pula memakai baju merah. Saya merasa pelik, tetapi saya tidak bertanya kenapa mereka berempat pakai baju merah kerana ia mungkin kebetulan,'' katanya kepada Bernama hari ini.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 1 petang itu di Kilometer 9.1 Lebuh Raya Timur-Barat, kereta Mercedes Benz E220 yang dinaiki empat beradik itu terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar sebatang pokok di tepi jalan tersebut menyebabkan kereta berkenaan remuk.

Mereka yang terbunuh adalah pemandu kereta Intan Mazwin Mohamad Imran, 26, pegawai eksekutif di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur; Intan Maszmin, 25, pegawai di Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Putrajaya; dan Intan Syafarin Hanni, 23, penuntut tahun tiga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang mati di tempat kejadian manakala seorang lagi anaknya, Intan Syafinasz, 20, pelajar tahun satu Universiti Malaya (UM) meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Gerik.

Pada waktu kejadian, kereta tersebut mengekori kereta yang dipandu suaminya, Pegawai Memerintah KD Pelanduk di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Kapten Mohamad Imran Abdul Hamid, 50, yang dinaiki bersama Che Saleha serta dua lagi anaknya Intan Maszlin, 24, dan Muhd Syaiful Amri, 13, yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke rumah mereka di Sitiawan.
Che Saleha berkata, pada malam sebelum kejadian ketika mereka di Lundang, Kota Bharu, Intan Syafinasz yang memakai baju putih ada memberitahu seorang sepupunya beliau merasakan seperti memakai kain kapan.

``Anak kedua saya (Intan Maszmin) dulu pernah berseloroh... kalau kita ni terlalu baik, kita akan pergi awal. Waktu itu kami sekeluarga tidak terfikir apa-apa dan kami tergelak,'' katanya.
Che Saleha yang merupakan pengetua Sekolah Menengah Batu 10, Lekir dekat Sitiawan berkata, Intan Maszmin sepatutnya bertunang pada Jun ini dan bakal tunangnya turut hadir pada majlis pengebumian semalam.
``Mungkin dengan pemergian mereka, iman saya lebih kuat dan menjadi lebih sabar,'' katanya.
``Bagaimanapun, saya pasrah dengan ujian tuhan ini. Saya bersyukur kerana dikurniakan anak-anak yang taat kepada ibu bapa. Memang anak-anak saya sejak kecil dididik dengan pendidikan agama dan diberikan penekanan oleh suami saya.

``Mereka cemerlang dalam akademik dan sangat rajin sewaktu di rumah. Kini mereka sudah tiada dan hanya tinggal dua orang anak saya sebagai pengubat hati,'' katanya.
Katanya, beliau akan tetap tinggal di rumahnya di Lot Pegawai Kerajaan, Jalan Tazali, Sitiawan bersama kenangan anak-anaknya di rumah itu.
Mengulas mengenai kejadian hari itu, Che Saleha berkata, selepas beliau meninggalkan suaminya yang mahu bersolat Jumaat di sebuah masjid di Gerik, beliau dan Intan Maszlin telah pergi ke sebuah gerai buah-buahan kira-kira 100 meter dari masjid berkenaan.

``Saya tunggu anak saya tak sampai. Tiba-tiba ada seorang lelaki Cina berhenti dan bertanya kepada orang di gerai itu, balai polis paling dekat. Dia kata ada kemalangan dua kilometer dari gerai tu.
``Saya dengar dan saya tanya kereta apa. Dia kata kereta hitam dan nampak perempuan Melayu pakai tudung... saya syak anak-anak saya. Saya minta orang Cina itu tolong bawa saya ke tempat itu.Bila sampai, saya tengok memang anak-anak saya. Waktu itu ramai orang di situ. Saya cuba pergi kepada anak saya, tetapi orang ramai halang saya dan tenangkan saya. Saya nampak Intan Syafinasz di sebelah pemandu masih hidup, nyawa-nyawa ikan,'' katanya. - Bernama


Pn.Hajah Che Saliha ni sebenarnya bekas pengetua sy masa sekolah menengah dulu.Teringat masa tragedi ni berlaku, warden asrama siap bagi pengumuman melalui sistem P.A....Kesian sangat dkt pn.pengetua yg kami panggil sebagai bonda ni. Daripada 6 org anak, tinggal 2 org je..seorang lelaki, seorang perempuan.

Bayangkan sedihnya kehilangan anak bukan setakat seorang dua tapi 4 orang serentak meninggal dunia. Tak dapat sy bayangkan macam mana luluh nya hati bonda pengetua masa tu. Tapi, tidak akan pernah Allah turunkan dugaan yg tak mampu kita tempuhi, betul tak. Jadi, bonda pengetua ni dah tentu tersangat kuat dan cekal orangnya.

Tragedi tu berlaku sekitar tahun 2005.Time ni sy baru form 3..So dah 7 tahun berlalu rupanya..Bonda pengetua pon sekarang dah lama bersara..Anak perempuannya pon dengar khabar dah kahwin, dah dpt anak pon..So bolehlah serba sedikit menjadi pengubat luka di hati bonda :)...

Harapan sy agar bonda kekal tabah dan bahagia setiap hari dlm hidup beliau bersama keluarga tercinta. InsyaAllah, suatu masa di syurga kelak bonda akan disatukan kembali dengan anak-anak kesayangan bonda yg telah pergi terlebih dahulu.Amin.




p/s: teringat time skolah dulu, kalau hantar kad raya dkt bonda, mesti dpt duit raya rm10..kdg2 siap reply balik kad raya..:)

No comments:

Post a Comment